TIBA-TIBA TERKULAI LAYU

Posted by ownz | Saturday, July 11, 2009 | | 0 comments »

SOALAN

SAYA berumur 26 tahun dan baru mendirikan rumah tangga. Saya
menghadapi masalah ketika ingin melakukan hubungan kelamin bersama
isteri. Ketika bercumbu-cumbu zakar masih menegang, tetapi apabila
bersedia untuk masuk ke lubang faraj, ia tiba-tiba layu dan tidak
lagi tegang. Saya tidak pasti masalahnya.


IZZUDIN
Terengganu


JAWAPAN

Dalam keadaan biasa, apabila ereksi berlaku, darah masuk ke dalam
liang otot zakar dan membuatkan ia mengembang dan padat. Di samping
itu, pembuluh darah ven mencengkam dan darah dalam otot zakar
terkunci dalam liang otot, membuatkan zakar tegang dan sesuai untuk
disalurkan ke dalam faraj.

Jarang kemasukan darah dalam liang otot zakar terganggu iaitu darah
tidak masuk dengan banyak kerana saluran darah mula mencerut akibat
tindak balas 'adrenalin' yang biasa keluar ketika lelaki mengalami
perasaan teruja atau gementar.

Apabila ini berlaku, darah dalam otot zakar kurang dan zakar tidak
padat dan darah dalam liang otot tidak 'terperangkap' dalam otot,
tidak kekal dalam otot untuk memberi ketegangan yang padat,
sebaliknya darah keluar dari liang otot zakar dan dalam sekelip
mata ereksi menjadi kendur sebelum sempat disalurkan ke dalam faraj.

Kadangkala pergerakan badan, kemutan dan debaran membantutkan
proses ereksi dan ereksi tidak berlaku atau jika berlaku, ia akan
kendur. Keadaan ini dikenali sebagai 'pelvic steal reflex'. Ada
juga situasi darah dalam otot tidak kekal.

Ia keluar dari otot melalui pembuluh darah ven sedikit demi sedikit
dan ini membuat ereksi yang satu ketika padat, menjadi kurang padat
dan gagal lakukan penembusan.

Situasi ini dikenali sebagai 'venous leak' atau keciciran darah
daripada otot zakar. Daripada situasi yang saya huraikan tadi, cara
mengekalkan ereksi supaya tidak kendur ialah jangan resah atau
gelisah ketika hendak bersama isteri.

Tumpukan kepada perasaan ghairah dan lakukan penembusan apabila
ereksi padat. Jangan tunggu lama dan kawal gerakan badan sambil
mengekalkan ereksi cara mengemut. Untuk masalah darah tercicir dari
liang otot, saya syor guna cincin penambat pangkal zakar daripada
getah asli.

Jika anda nak ereksi dalam keadaan mantap dan sentiasa bersedia,
guna krim perapi zakar yang ada dalam pasaran. Sapukan sedikit krim
pada penghujung zakar dan lakukan urutan lembut supaya krim itu
serap ke dalam kulit. Lakukannya setiap pagi selepas mandi. Jika
masalah itu masih ada, elok jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.

0 comments