MENGEKALKAN SEMANGAT BELAJAR

Posted by ownz | Saturday, July 11, 2009 | | 0 comments »

PEPERIKSAAN demi peperiksaan akan muncul tidak lama lagi dan
kemudiannya diakhiri dengan Peperiksaan Sebenar.
Mungkin ada di antara murid yang rasa bosan serta tidak bertenaga
lagi untuk menghadapi semua ini. Bagaimanapun mahu tidak mahu
proses ini harus dilalui. Oleh itu adalah amat penting bagi
seseorang murid dapat mengekalkan semangat untuk terus belajar.
Dengan berbekalkan semangat segala cabaran akan dapat ditangani
dengan mudah.

Berikut disenaraikan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh
murid-murid untuk mengekalkan semangat untuk belajar.

- Tindakan segera ketika menghadapi kesukaran. Sewaktu mengulang
kaji atau mendengar penerangan guru terdapat juga perkara-perkara
yang tidak difahami. Lama kelamaan perkara-perkara yang tidak
difahami ini akan menyukarkan murid untuk meneruskan mengulang kaji
pelajaran dan akhirnya murid akan merasa bosan serta hilang
semangat untuk belajar. Dalam hal ini murid perlu bertindak segera
mengatasinya. Murid perlu menghubungi guru, rakan atau merujuk
bahan bacaan sehingga perkara yang tidak difahami itu dapat diatasi.

- Mengulang kaji setiap hari: Proses mengulang kaji perlu dilakukan
setiap hari mengikut jadual yang dirancang. Ada sesetengah murid
hanya mengulang kaji pada hari-hari tertentu sahaja. Keadaan begini
akan menghilangkan suasana peperiksaan serta semangat untuk belajar.

- Jangan ponteng kelas. Perbuatan ponteng kelas akan menyebabkan
murid ketinggalan topik yang diajar. Tanpa penerangan guru adalah
agak sukar bagi murid memahaminya. Jika masalah ini berlarutan
murid akan hilang semangat untuk belajar.

- Tumpuan pada pelajaran. Di peringkat ini murid diminta memberi
sepenuh perhatian pada pelajaran. Hiburan yang berlebihan haruslah
ditinggalkan. Biarlah minda kita hanya memikirkan tentang pelajaran
tanpa dicampur aduk dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

- Bertaqwa sepanjang masa: Beribadah mampu menimbulkan kesedaran,
kesyukuran serta mendekati diri kita kepada Allah. Segala nikmat
dan kejayaan akan diberikan oleh Allah sekiranya seseorang itu
berusaha bersungguh-sungguh serta ikhlas melakukan segala tindakan
tanpa dipaksa. Menyedari hakikat ini semangat untuk belajar akan
terus bersemarak di jiwa kita yang akhirnya membawa kejayaan.

Oleh itu murid harus bertindak sekarang kerana masa berjalan dengan
pantas. Kita tidak harus berdolak dalih memberi alasan tetapi
teruslah mencari jalan untuk belajar bersungguh-sungguh demi
mencapai kejayaan.

0 comments