DEBAR MALAM PERTAMA

Posted by ownz | Saturday, July 11, 2009 | | 1 comments »

Soalan:
SAYA jejaka berusia 28 tahun dan akan mendirikan rumah tangga
dengan gadis pilihan akhir bulan ini. Perasaan saya bercampur baur
antara gembira, risau dan bimbang dengan apa yang akan dilalui.
Selama ini, saya tidak pernah membincangkan soal kelakian dengan
rakan-rakan, jauh sekali dengan bapa kerana sifat saya yang pemalu.

Soalan saya, bagaimana saya hendak menempuh malam pertama? Apakah
persiapan yang perlu saya lakukan? Bagaimana mahu memastikan malam
pertama itu menggembirakan, bukan sesuatu yang menyakitkan atau
semata-mata dipengaruhi gelojak nafsu? Apakah amalan-amalan yang
patut saya lakukan dalam menempuh kehidupan berkelamin? Bagaimana
dengan amalan urut dan tonik lelaki sihat? Apakah ia perlu dalam
menjamin malam pertama yang hebat?

Untuk makluman doktor, saya berbadan sihat, cukup ciri fizikal dan
selama ini berjaya mengawal nafsu seks dengan baik sama seperti
lelaki lain.

J K Fad
Subang Jaya, Selangor.

Jawapan:
TERLEBIH dulu saya ingin mengucapkan tahniah kerana saudara akan
menempuh alam perkahwinan tidak lama lagi. Malam pertama adalah
detik yang dinantikan penuh debaran oleh semua pasangan yang
menempuh gerbang perkahwinan. Semestinya, semua pasangan inginkan
malam pertama yang menggembirakan, hebat dan penuh kenangan.

Bagi menempuhi malam pertama, persiapan dari segi fizikal dan
mental perlu dilakukan. Dari segi fizikal, saudara perlu pastikan
saudara tidak mempunyai bau tidak menyenangkan, sama ada bau badan
atau bau mulut. Pastikan badan saudara dalam keadaan bersih
terutama sekali bahagian kemaluan. Sekiranya ada masalah kulit atau
jangkitan di kawasan itu, pastikan ia dirawat terlebih dulu.

Bulu di kawasan ari-ari perlu dinipiskan supaya kemas dan tidak
menimbulkan bau. Malam pertama tidak semestinya berakhir dengan
penetrasi dan seks yang hebat. Saudara perlu ingat inilah kali
pertama saudara melakukan hubungan seks dengan isteri dan sudah
semestinya ada kekurangan jika dibandingkan dengan pasangan yang
sudah lama berumahtangga.

Ini ditambah lagi dengan faktor tekanan dan keletihan selepas
seharian melayan tetamu .Oleh sebab itu, pada malam pertama saudara
disaran usah meletak harapan tinggi supaya tidak kecewa. Mulakan
dengan berbual bersama pasangan. Luahkan ungkapan cinta, imbas
kembali kenangan manis ketika bercinta dan kini saudara sudah
menjadi miliknya. Jadikan pasangan saudara selesa dan tenang. Usah
takut berbincang mengenai apa yang kamu berdua mahukan serta
harapkan dalam konteks hubungan seks suami isteri.

Merasa selesa dan tenang bersama adalah faktor amat penting untuk
memulakan hubungan seks buat kali pertama. Mulakan dengan foreplay
dan tumpukan banyak masa untuk aktiviti ini. Ini kerana wanita
memerlukan masa bagi menyediakan diri untuk peringkat penetrasi.
Foreplay ini termasuk ciuman, pelukan, belaian, sentuhan dan seks
oral. Tanya kepada pasangan saudara, kawasan mana dirasakan nikmat
lebih banyak. Fokuskan ke kawasan itu. Tumpukan masa untuk
menerokai dan mempelajari fokus erotik pasangan anda.

Sebagai seorang suami pada malam pertama, saudara perlu memikul
peranan utama tetapi jangan sesekali bersikap terburu-buru, kasar
atau rakus. Apabila isteri saudara bersedia, penetrasi perlu
dilakukan secara perlahan-lahan. Pastikan vagina dalam keadaan
basah. Jika tidak, gel pelincir seperti KY jelly boleh digunakann.
Ini adalah kerana persetubuhan akan menjadi tidak selesa dan sakit
apabila vagina berada dalam keadaan kering.

Posisi wanita di atas adalah kedudukan paling sesuai untuk malam
pertama. Ini adalah kerana dalam posisi ini, isteri saudara boleh
mengawal tahap dan kedalaman penetrasi dan boleh disesuaikan
mengikut tahap penerimaan beliau.

Pendarahan boleh berlaku semasa penertrasi pertama tetapi ia
selalunya berlaku dalam kuantiti kecil dan tidak merbahaya.
Adakalanya penetrasi tidak terjadi pada malam pertama. Ini boleh
terjadi apabila pasangan saudara masih belum bersedia atau saudara
sendiri boleh mengalami kegagalan ereksi ataupun ejakulasi pra
matang.

Kegagalan ereksi pada malam pertama selalunya berpunca dari faktor
psikogenik .Ini termasuk faktor tekanan, performance anxiety dan
tidak ada pengalaman dalam hubungan seks. Ejakulasi pra matang pula
boleh berlaku akibat terlalu ghairah dan tidak ada pengalaman dalam
mengawal ejakulasi. Sekiranya ini berlaku, saudara jangan gusar
atau panik.

Kedua-dua masalah ini lazimnya boleh dipulihkan dengan sendiri dan
tidak memerlukan apa-apa rawatan. Hubungan seks perlu latihan dan
teruskan hubungan intim walaupun pada beberapa kali yang pertama,
ia tidak sehebat yang dijangka.

Ada juga kemungkinan isteri saudara tidak akan mencapai klimaks
pada malam pertama. Ini disebabkan pelbagai faktor termasuk
penyesuaian diri. Saudara tidak perlu mengambil tonik kesihatan
atau menjalani amalan urut sebagai persiapan menghadapi malam
pertama. Urut terutama pada bahagian zakar boleh menimbulkan
kecederaan dan pelbagai komlikasi.

Tonik tonik kesihatan yang dijual di pasaran kebanyakannya tidak
diketahui akan kandungan sebenarnya. Amalkan senaman, pengurusan
tekanan yang bijak dan pemakanan sihat .

Jika saudara berdua sihat dan saling menyayangi antara satu sama
lain, seks akan menjadi hebat. Bagaimanapun, ia mungkin tidak boleh
dicapai dengan satu hubungan pada malam pertama. Saudara perlu
bersabar dan belajar mengenai pasangan saudara dari segi fizikal
dan mental. Ada pelbagai buku panduan untuk pengantin baru yang
boleh didapati di pasaran.

Paling penting, saudara akan bersama insan yang dicintai dan
disayangi hingga ke akhir hayat.

Selamat pengantin baru!

1 comments

  1. adzrollz // August 12, 2009 at 6:54 PM  

    orang bujang cam aku pon terpikir gak...cane la nanti, xde experience lagi...rasenye elok camtu