MAKNA SEBENAR SEMANGAT

Posted by ownz | Wednesday, July 01, 2009 | | 0 comments »

SOALAN:
Emak saya sakit teruk; sukar tidur malam, stres, sesekali menangis, sesekali ketawa mengilai panjang dan ada ketikanya termenung, tidak keluar bilik, dan macam-macam lagi, lalu akhirnya sembuh setelah berubat di sebuah kampung di Melaka. Bomoh yang merawatnya memintanya supaya memutus ubat, atau memulang paku buah keras.

Mungkin kerana seronok sembuh, emak saya juga abang lupa untuk memutus ubat lalu akhirnya ibu saya sakit semula, lebih teruk.Emak dibawa berubat semula dan sembuh lalu abang memutus ubat seperti yang disarankan oleh bomoh tadi. Soalan saya ialah, adakah orang yang berubat cara Melayu (tradisional) akan sakit semula kalau tidak memutus ubat, seperti yang terjadi pada ibu saya.

*Noryn, Shah Alam, Selangor.

Jawapan

Orang Melayu tradisional mempercayai bahawa setiap benda itu mempunyai semangat, sama ada benda itu merupakan objek alam, seperti laut ataupun daratan, ataupun objek lain yang lebih khusus, seperti pokok, terutamanya pokok yang besar-besar, hutan-hutan, batu-batu besar, gua-gua dan sebagainya.

Andainya semangat ini dirujuk kepada objek berkenaan semangat yang dimaksudkan di sini ialah makhluk-makhluk halus, yang dipercayai menghuni tempat-tempat tersebut.

Kerana itulah tempat-tempat seumpama ini tidak boleh diperlakukan sembarangan, seperti membuang air besar ataupun air kecil, ditakuti ia boleh menyebabkan kemarahan semangat ataupun makhluk-makhluk halus yang menghuni, ataupun menunggu tempat tadi, menyebabkan makhluk-makhluk tadi marah lalu mengganggu manusia yang terlibat.

Sekiranya semangat tersebut dirujuk kepada padi, semangat di sini adalah merupakan kekuatan dalaman yang ada pada tanaman ini. Kerana itulah maka lahirnya pelbagai upacara, pantang larang dan petua yang perlu dipatuhi yang berkaitan dengan padi, agar semangat padi tidak lari ataupun hilang. Padi yang hilang semangat menyebabkannya tidak menjadi, mudah diserang musuh, seperti ulat, binatang seperti tikus, belalang dan sebagainya, ataupun orang yang memakan beras hasil daripada padi yang tidak mempunyai semangat itu tidak merasa puas ataupun kenyang biarpun perut penuh.

Apabila semangat itu dirujuk pada diri manusia, semangat di sini bermaksud sebagai kekuatan dalaman yang perlu wujud pada diri seseorang. Orang yang hilang semangat, ataupun lemah semangat mudah diserang penyakit, kerana ketahanan dirinya ketika itu tidak kuat, ataupun tidak ada langsung. kerana itu, semangat yang dimaksudkan di sini adalah merupakan body resistance. masyarakat Melayu tradisional selalunya merujuk orang yang lemah semangat itu kepada perempuan yang mengandung, ibu yang masih dalam hari, bayi, terutamanya bayi yang masih dalam hari, juga pesakit yang masih berada dalam pengawasan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional.

Orang yang baru sembuh daripada penyakit yang dialami merupakan mereka yang masih belum pulih semangatnya, ataupun kekuatan dalamannya. Kerana itu, orang yang seumpama ini mudah diserang oleh sakit yang sama, ataupun lain-lain penyakit, terutamanya sakit yang dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk-makhluk halus.

Kerana itulah, orang yang berada dalam keadaan seperti ini perlu diperkuatkan semangatnya, iaitu dengan cara mengadakan upacara “memulang paku buah keras”, seperti yang saudara jelaskan. Dalam upacara ini bahan yang selalunya disediakan ialah buah keras, limau sama ada tiga ataupun lima biji biasanya limau nipis. Adalah lebih baik sekiranya limau yang dibawa itu terdiri daripada limau yang diambil dari satu tangkai yang sama, garam, bahan yang diperbuat daripada besi, seperti paku, pisau dan sebagainya, juga wang, yang tidak semestinya berjumlah tujuh ringgit seperti yang saudara jelaskan. Ia mungkin berjumlah dua ringgit setengah, dua ringgit dan setengah sen, ataupun suku sen, bergantung bagaimana seseorang itu menerima ajaran daripada gurunya. Sesetengah daripada mereka mengenakan jumlah wang ini lebih tinggi daripada apa yang saudara jelaskan, ataupun lebih rendah daripada itu.

Bahan-bahan yang perlu disediakan untuk upacara ini pada asalnya mempunyai simbolik yang tersendiri. Bahan-bahan tersebut, seperti buah keras merupakan lambang bagi kekuatan semangat pesakit. Oleh kerana semangat yang dimiliki oleh pesakit berada dalam keadaan lemah ketika itu, dengan melakukan upacara memulang buah keras, diharapkan semangat pesakit tersebut menjadi keras seperti buah keras tadi.

buah

Adalah dimaklumi bahawa bahan ini adalah buah yang paling keras, yang sering digunakan dalam dunia perubatan tradisional Melayu, atau sekurang-

kurangnya “buah keras” itu sendiri sudah cukup untuk menjadi lambang “keras” bagi memperkuat semangat pesakit yang lemah ketika itu.

Pada hakikatnya, orang Melayu umumnya telah kehilangan pengertian tentang keperluan membawa pisau ataupun paku dalam upacara yang dimaksudkan. Penggunaan bahan-bahan yang diperbuat daripada besi adalah merupakan salah satu daripada pengaruh yang didatangkan dari India yang terterap kukuh dalam kebudayaan Melayu, di mana dipercayai bahawa bahan-bahan yang diperbuat daripada besi boleh menakut-nakutkan makhluk-makhluk halus.

Kita mungkin dapat melihat kacip pinang yang diselitkan di atas pintu bilik tempat ibu dan bayi yang masih dalam hari berada. Orang Melayu tradisional mempercayai bahawa makhluk-makhluk halus suka mengganggu ketika ini.. Untuk keselamatan ibu dan bayi yang masih berada dalam waktu pantang, bahan tadi diletakkan di atas pintu bilik untuk menakut-nakutkan makhluk-makhluk halus yang mungkin datang mengganggu, ataupun hendak menghisap darah. Selain di atas pintu, bahan-bahan yang diperbuat daripada besi, seperti cangkul juga ada kalanya diletakkan di bawah bilik di mana ibu dan bayi berada. Pada hujung kain yang digunakan untuk mendokong bayi juga sering disimpulkan pisau lipat kecil untuk tujuan yang sama. Amalan ini boleh dikatakan tidak dilakukan ketika ini.

Selain daripada menjadi bahan perasa utama dalam kehidupan manusia, garam memberi makna besar dalam kehidupan manusia tradisional. Walaupun demikian bahan ini seumpama tidak memberi sumbangan dalam kehidupan manusia kerana ia mudah diperolehi juga murah harganya, pada hal bahan ini, biar dalam keadaan apa sekalipun adalah penting. Orang Melayu dahulu kala menggunakan bahan ini untuk memperlihatkan kematangan berfikir dan kekuatan seseorang. Orang yang lebih banyak makan garam, iaitu orang yang lebih dewasa dianggap lebih berpengalaman dan mempunyai kemantapan berfikir yang lebih berbanding dengan mereka yang lebih muda usianya.

Sebahagian besar orang Asli pula meyakini bahawa mimpi yang berkaitan dengan garam, seperti mimpi membeli garam, makan garam dan sebagainya memberi alamat yang buruk. Orang yang bermimpi yang berkaitan dengan garam pada malam hari perlu berhati-hati ketika berjalan di hutan, menaiki motor dan sebagainya, kerana mimpi seperti ini merupakan petanda tidak baik yang akan berlaku. Mungkin orang yang berkenaan akan dihempap pokok ketika berjalan di hutan, diterkam binatang buas ataupun berjumpa hantu di hutan. Ketika menunggang motor ia mungkin akan mengalami kemalangan. Adalah lebih baik orang yang bermimpi itu tidak keluar rumah, atau tidak bekerja di keesokan harinya..

Biarpun amalan memulang paku buah keras itu mempunyai simbol-simbol ataupun lambang-lambang tertentu seperti yang saya jelaskan, namun pengertian tersebut seumpama tidak di dewasa ini selain daripada adat kebiasaan yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya.

Bagi mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional, amalan ini ada kalanya hanya merupakan tuntutan yang diajar oleh gurunya yang perlu dilakukan, tidak lebih daripada itu. Sesetengah daripada mereka mengenakan syarat-syarat tersebut pada sakit-sakit tertentu, tidak pada semua penyakit yang diubati olehnya.

Amalan ini juga adakalanya dikaitkan dengan amalan “memutus ubat”. Amalan terakhir ini dilakukan sebagai tanda berterima kasih daripada pesakit juga keluarganya kepada individu tertentu yang telah menolongnya ketika sakit. Ia dilakukan tidak semestinya setelah pesakit sembuh, tetapi keluarga pesakit secara tidak langsung telah mengambil keputusan untuk menamatkan rawatan daripada individu berkenaan, ataupun lebih jelas keluarga pesakit meminta izin untuk membawa pesakit berubat dengan orang lain.

Dari segi logik memang sukar untuk menjelaskan bahawa sakit akan berulang sekiranya upacara seperti ini tidak dilakukan. Sakit boleh berulang atau menjadi lebih teruk, tetapi bukan kerana tidak memulang paku buah keras seperti yang dijelaskan.

Fenomena yang berlaku dalam masyarakat Melayu, apabila seseorang itu sembuh hasil daripada bantuan mereka yang dipanggil sebagai, pawang, bomoh, dukun, poyang ustaz dan sebagainya, mereka akan lupa untuk berterima kasih kepada orang yang pernah memberi pertolongan, biarpun perawat tadi melakukan segala-galanya dengan penuh ikhlas dan kerana Allah. Kerana itulah maka amalan memutus ubat itu perlu, iaitu untuk memberitahu kepada perawat, bahawa pesakit yang dibantu telah sembuh, dan dalam masa yang sama, tidak salah sekiranya pesakit itu memberi cenderamata seperti yang dijelaskan, ataupun menurut keikhlasan diri masing-masing.

0 comments