TEKANAN MATI PUCUK

Posted by ownz | Saturday, July 11, 2009 | | 0 comments »

JARANG terdengar pasangan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum
melangsungkan perkahwinan, kecuali jika mereka was-was mengenai
tahap kesihatan yang boleh mempengaruhi perkahwinan secara negatif.

Jadi, tidak mustahil ada individu menjalani pemeriksaan tertentu
untuk mengenal pasti tahap kesihatan. Lelaki yang ada masalah atau
gangguan ereksi akan berasa was-was untuk berkahwin kerana takut
tidak dapat melakukan hubungan seksual dengan pasangan.

Ada yang khuatir mengenai saiz dan bentuk zakar, takut tidak dapat
memuaskan pasangan dan ada yang takut dirinya mandul kerana hanya
ada satu atau tiada buah zakar dalam kerandut. Ada pula yang
bimbang kerana ada buah zakar kecil atau mempunyai varikosel
(pembuluh darah berpintal).

Semua keraguan ini perlu mendapat perhatian sewajarnya dan bukan
sekadar memikirkannya. Jumpa doktor pakar dalam pengendalian
masalah itu.

Mati pucuk bererti lelaki itu tidak mampu mencapai ereksi yang
mencukupi dan kekal untuk memasukkannya ke dalam faraj pasangan.

Lelaki yang mati pucuk ada perasaan dan nafsu syahwat. Dia rasa
tertekan kerana tidak dapat melakukan perkara yang menyeronokkannya
dan tidak hairan jika dia mengalami perubahan mood dan tingkah laku
negatif.

Jarang lelaki muda mengalami mati pucuk. Jika ia berlaku, mungkin
ada masalah kesihatan yang terselindung dan elok dia berjumpa
doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Kini rawatan moden dapat membantu sebilangan besar lelaki mati
pucuk. Rawatan tradisional seperti urut tidak berkesan, malah
memudaratkan. Jangan percaya pada kefahaman karut dan khurafat
kononnya mati pucuk akibat buatan orang.

Yang mustahak, lelaki yang mengalami mati pucuk perlu memahami dia
tidak bersendirian dalam masalah ini.

Kajian di Malaysia mendapati 2.3 juta lelaki Malaysia berumur 40
tahun dan ke atas mengalami mati pucuk dan angkanya mungkin lebih
jika turut dimasukkan jumlah lelaki yang muda. Soalnya, jangan
mendiamkan diri, sebaliknya dapatkan bantuan doktor.

Mati pucuk boleh mengakibatkan masalah kesuburan kepada pasangan
kelamin kerana suami tidak dapat memasukkan ereksi ke dalam faraj
isteri untuk menyalurkan air mani yang mengandungi sperma.

Jika air mani dapat dimasukkan ke dalam faraj perempuan sama ada
doktor yang melakukannya melalui prosedur penyemaian mani berhadas
(artificial insemination husband) atau suami itu sendiri
(mengeluarkan air mani secara onani dan menyuntiknya ke dalam faraj
dengan alat penyuntik tanpa menggunakan jarum).

Zakar yang tidak erek pun boleh terpancut air mani jika dirangsang.
Wanita yang prihatin mengenai hal ehwal kesihatan pasangan atau
kawan, tidak salah untuk memberi sokongan dan motivasi kepada kawan
atau pasangan supaya mereka berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

0 comments