KEPELBAGAIAN CARA BELAJAR

Posted by ownz | Saturday, July 11, 2009 | | 0 comments »

BELAJAR sememangnya menyeronokkan tetapi bagi mereka yang belajar
dengan hanya tertumpu pada buku sahaja kadangkala mungkin juga
membosankan. Oleh itu murid harus mempelbagaikan bahan, kaedah dan
gaya belajar agar ianya menjadi aktiviti harian yang mampu
dijalankan tanpa terasa sebagai bebanan.

- Bahan - terdapat pelbagai bahan belajar yang boleh digunakan
termasuklah buku teks, akhbar, bahan grafik, lakaran peta minda,
bahan audio, video, animasi serta bahan dari internet.

Bahan seumpama ini boleh diperoleh daripada pusat sumber sekolah
atau negeri, kedai buku, kedai video dan sebagainya. Bahan yang
mempunyai imej atau yang bercirikan multimedia mampu menarik
perhatian kita serta mampu mengekal dan menambahkan daya ingatan
terhadap fakta-fakta yang dipelajari.

- Kaedah - belajar sendirian adalah suatu amalan yang baik tetapi
kadangkala kita mudah rasa jemu, bosan dan mengantuk. Adalah
dicadangkan supaya murid-murid mampu berinteraksi atau berbincang
dengan rakan-rakan berdasarkan bahan yang dipilih.

Idea yang bernas daripada rakan-rakan mampu memberi maklum balas
serta menjadi asas membetulkan kesilapan yang dilakukan. Mencari
bahan dengan melayari Internet mampu menambahkan kemahiran
penggunaan komputer di samping mendapat bahan atau fakta terkini.

- Gaya belajar - Gaya belajar juga mempengaruhi segala tindakan
kita dalam proses mengulang kaji. Oleh itu gaya belajar juga harus
dipelbagaikan termasuk kedudukan kita ketika belajar sama ada
secara formal berada di kerusi, duduk di lantai atau bersandar di
sofa. Ada juga pelajar yang suka belajar sambil mendengar muzik.

Amalan ini boleh dilakukan tetapi dalam keadaan terkawal. Muzik
yang didengar itu sebaik-baiknya tidak terlalu kuat sehinggakan
hilang daya tumpuan belajar. Walau bagaimanapun anda dilarang
mendengar muzik ketika melakukan aktiviti belajar seperti menghafal
atau membuat latihan yang mempunyai aras kesukaran yang tinggi yang
banyak menggunakan daya berfikir. Menonton televisyen ketika
belajar adalah dilarang sama sekali.

Dalam jangka masa terdekat ini murid-murid harus mempelbagaikan
cara belajar masing-masing. Keseronokan ketika belajar harus
dirasai agar apa yang dipelajari itu difahami dan akhirnya mampu
menjawab soalan peperiksaan dengan tenang, berkeyakinan dan
menepati kehendak soalan.

0 comments