JANGAN IKUT HATI

Posted by ownz | Saturday, July 11, 2009 | | 0 comments »

"Kalaulah diikutkan hati, saya tak mau bersusah payah, kalau boleh
semua kesenangan ingin saya miliki tanpa melalui pelbagai cabaran."
Begitulah agaknya antara keluhan yang mungkin dicurahkan jika
diikutkan hati. Tetapi awas! jangan ikutkan hati, kelak merana diri.

Sebenarnya ungkapan "jangan ikut hati" membawa maksud kita tidak
harus melayan kehendak atau nafsu yang mendorong kita ke arah
tindakan yang merugikan diri sendiri. Sebaliknya kita harus
mengawal diri supaya setiap langkah yang diambil benar-benar
memberi faedah serta berketepatan dengan peraturan yang sedia ada.
Malah jika cetusan kehendak itu lahir dari hati yang suci, maka
kehendak tersebut perlulah dilayan.

Sebagai contoh jika kita berkehendakkan kejayaan dan berazam untuk
berusaha bersungguh-sungguh maka kehendak tersebut perlu dipenuhi
segera dengan mengatur langkah serta menyusun perancangan agar ia
dapat dijelmakan dalam bentuk tindakan yang sihat.

Di saat-saat menjelangnya peperiksaan sudah tentu terdapat beberapa
kehendak yang harus dihindari seperti:

Membuang masa: Kita memang suka membuang masa. Adalah amat
menyeronokkan jika kita dapat bersembang-sembang, bergelak ketawa
serta bergurau senda bersama rakan-rakan. Perbuatan begini harus
dihindari kerana masa berjalan terlalu pantas. Setiap saat yang
kita lalui akan memendekkan masa penantian kita untuk berhadapan
dengan peperiksaan.

Leka dengan hiburan: Sememangnya jika diikutkan hati kita inginkan
hiburan seperti mendengar radio, mendengar MP3, menonton TV, Video,
bermain alat playstation dan sebagainya. Hiburan seumpama ini bukan
sahaja merugikan masa tetapi juga melekakan kita daripada mengulang
kaji. Sementara itu pelbagai bentuk hiburan yang kita lalui itu
akan mengganggu fikiran dan mengurangkan fokus ketika belajar.

Ponteng sekolah: Walaupun sukatan pelajaran telah lengkap
dipelajari tetapi ini bukan bermakna kita boleh ponteng sekolah.
Banyak lagi perkara-perkara yang harus kita selesaikan di sekolah
termasuk mengulang kaji, membuat latihan tambahan, berbincang
dengan rakan dan guru serta membuat rujukan di pusat sumber.

Menyedari hakikat bahawa kita perlu menggunakan masa sepenuhnya
menjelang peperiksaan ini, maka janganlah kita ikutkan hati ke arah
melakukan tindakan yang sia-sia dan bertentangan ajaran agama.

0 comments